Di dalam negara kita ada dua agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang anda perlu tahu jika anda hadapi masalah berkenaan dengan kerja anda.
Satu adalah Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) dan satu lagi adalah Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Apa beza antara kedua jabatan tersebut?
Sebelum ini saya ada menulis jika anda dibuang kerja maka anda perlu pergi membuat aduan dengan JPP di sini http://auzansazali.blogspot.my/2016/10/anda-hanya-ada-60-hari-sahaja.html#more.
JPP adalah tempat yang perlu anda tuju jika anda ditamatkan perkhidmatan dalam masa 60 HARI sahaja. Lebih 1 hari maaf. Anda sudah terlewat. Kapal sudah berlayar.
Jadi tujuan JPP ini ditubuhkan adalah untuk anda yang ditamatkan perkhidmatan mendapatkan hak anda kembali. Jika di JPP proses runding damai tidak berjaya maka kes pembuangan kerja anda akan dirujuk ke Menteri Sumber Manusia untuk dirujuk ke Mahkamah Perusahaan.
Anda sendiri tidak boleh terhegeh-hegeh pergi ke Mahkamah Perusahaan dan memfailkan aduan anda telah dibuang kerja. Perlu melalui langkah yang pertama dalam masa 60 HARI membuat aduan di JPP. Hanya Menteri Sumber Manusia sahaja yang boleh rujuk kes anda ke Mahkamah Perusahaan.
Anda tidak percaya cakap saya?
Kita boleh rujuk kepada Seskyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 seperti berikut:-
(1) Apabila seorang pekerja menganggap dirinya telah dibuang kerja secara tidak munasabah dia boleh membuat aduan kepada Pengarah JPP untuk diambil semula bekerja, aduan boleh dibuat di pejabat JPP yang berhampiran.
Dalam bahasa omputihnya macam ni "(1) Where a workman, irrespective of whether he is a member of a trade union of workmen or otherwise, considers that he has been dismissed without just cause or excuse by his employer, he may make representations in writing to the Director General to be reinstated in his former employment; the representations may be filed at the office of the Director General nearest to the place of employment from which the workman was dismissed.
(1A) Pengarah JPP tidak boleh menerima sebarang aduan di bawah sub seksyen (1) kecuali aduan dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembuangan kerja. Ini ayat dalam bahasa omputih "(1A) The Director General shall not entertain any representations under subsection (1) unless such representations are filed within sixty days of the dismissal:"
Kemudian dalam sub seksyen (2) Apabila JPP telah terima aduan JPP akan mengambil langkah-langkah yang segera supaya satu penyelesaian boleh diambil. Sebab itu selepas buat aduan akan ada prosiding runding damai untuk melihat sama ada kes pembuangan kerja boleh diselesaikan atau tidak. Jika tidak ada penyelesaian maka JPP akan memaklumkan kepada Menteri Sumber Manusia. Ini dalam bahasa omputih "(2) Upon receipt of the representations the Director General shall take such steps as he may consider necessary or expedient so that an expeditious settlement thereof is arrived at; where the Director General is satisfied that there is no likelihood of the representations being settled, he shall notify the Minister accordingly."
Ini sub seksyen yang palin penting (3) Apabila Menteri Sumber Manusia menerima maklumat daripada JPP bawah sub seksyen (2), Menteri boleh jika difikirkan sesuai untuk merujuk kes ke Mahkamah Perusahaan untuk satu award. Dalam bahasa lainnya macam ni "(3) Upon receiving the notification of the Director General under subsection (2), the Minister may, if he thinks fit, refer the representations to the Court for an award."
Ok. So sekarang sudah nampak kenapa jika anda dibuang kerja perlu membuat aduan ke JPP. Asalkan anda adalah pekerja yang dibuang kerja. Maka anda boleh buat aduan. Tidak ada had minima gaji atau maksimum gaji. Asalkan anda adalah pekerja.
Apa bezanya pula dengan JTK? JTK ditubuhkan di bawah akta yang berbeza iaitu Akta Kerja 1955.
Anda perlu faham tidak semua pekerja boleh membuat aduan dengan pihak JTK ini. Hanya pekerja bergaji bawah RM2,000-00 sahaja yang boleh memfailkan aduan dengan pihak JTK. Ini adalah seperti yang dinyatakan dalam Akta Kerja 1955 dalam Jadual 1 yang memberikan tafsiran pekerja adalah yang bekerja di bawah gaji RM2,000-00 dalam bahasa omputihnya adalah " Any person, irrespective of his occupation, who has entered into a contract of service with an employer under which such person's wages do not exceed two thousand ringgit a month."
Namun ada dalam keadaan tertentu mereka bergaji atas RM2,000-00 dan di bawah RM5,000-00 juga boleh membuat aduan ke JTK berdasarkan kepada Seksyen 69B Akta Kerja 1955. Nanti saya akan kongsikan.
Apa manfaat JTK ini pula kepada anda?
Pertama jika anda tidak dapat gaji atau gaji anda dipotong maka anda boleh buat aduan di pejabat JTK.
Kedua jika anda ditamatkan perkhidmatan dan tidak diberikan sebarang faedah penamatan perkhidmatan. Maka anda juga boleh buat aduan untuk mendapatkan faedah penamatan perkhidmatan di bawah Seksyen 60 J untuk faedah penamatan perkhidmatan.
Jawapan mudahnya adalah tidak boleh. Ini adalah kerana anda buat aduan pembuangan kerja di JPP untuk diambil semula bekerja. Jika gagal proses runding damai maka kes akan dirujuk kepada Menteri Sumber Manusia untuk dirujuk ke Mahkamah Perusahaan. Jika di dapati pembuangan kerja dibuat tanpa sebab yang munasabah oleh Mahkamah Perusahaan anda akan mendapat gantirugi gaji kebelakang sebanyak 24 bulan bagi pekerja tetap dan 12 bulan bagi pekerja dalam tempoh percubaan. Nanti saya akan kongsikan lagi berkenaan dengan Award yang Mahkamah Perusahaan boleh berikan.
Jadi jika saya dibuang kerja kemana saya perlu buat aduan?
Jika anda bergaji bawah RM2,000-00 anda boleh buat aduan di pejabat JTK juga anda boleh buat aduan di pejabat JPP. Jika anda sudah buat aduan di pejabat JPP anda tidak boleh lagi membuat aduan di pejabat JTK. Manakala tidak ada sebarang had minima atau maksima gaji untuk anda membuat aduan di pejabat JPP.
Sudah pasti jumlah gantirugi yang anda boleh dapat di JPP dan JTK adalah berbeza. Jika di JTK anda akan tertakluk kepada formula yang telah digariskan di dalam Panduan Termination and Lay Off Benefits. Manakala jika di JPP dan diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan adalah backwages gantirugi gaji kebalakang sebanyak 24 bulan.
Manakala jika gaji saya dipotong. Ke mana saya perlu membuat aduan?
Jika gaji anda dipotong dan anda bergaji bawah RM2,000-00 anda boleh membuat aduan di pejabat JTK. Jika anda ingin membuat aduan ke pejabat JPP berkenaan dengan gaji dipotong itu akan melibatkan prosedur pembuangan kerja secara konstruktif. Nanti saya akan share prosedur berkenaan dengan pembuangan kerja secara konstruktif.
Semoga peneranagan yang sedikit ini dapat membantu anda semua.
Jika ada sebarang permasalahan boleh email kepada saya di auzansazali@gmail.com
Teman anda,
Auzan Sazali.
No comments:
Post a Comment