Saturday, 5 November 2016

Apa Keadaan CD ditolak?

Pada post-post yang sebelum ini saya sudah terangkan Apa itu CD? dan keadaan di mana CD dibenarkan oleh Mahkamah Perusahaan.

Sekarang saya akan kongsikan dengan anda pula keadaan di mana Mahkamah Perusahaan putuskan CD tidak berlaku. Di mana Mahkamah Perusahaan menolak tuntutan pekerja yang dibuang atas sebab CD.

Jadi apa dia keadaan-keadaan di mana CD ditolak oleh Mahkamah Perusahaan?




Ini adalah merupakan keadaan-keadaan di mana tuntutan CD ditolak seperti berikut:-


1. PERPINDAHAN DIBUAT DENGAN NIAT BAIK


Arahan perpindahan boleh menjadi asas untuk menuntut CD dan dalam masa yang sama juga ada keadaan di mana Mahkamah memutuskan CD tidak berlaku walaupun adanya arahan perpindahan. Semua bergantung kepada niat arahan perpindahan dibuat. Jika niat majikan adalah tidak baik maka CD akan dibenarkan tetapi jika niat majikan adalah baik maka CD tidak akan berjaya. 

Ini boleh dilihat di dalam kes NOR RUMAINI ABD RAHIM & ORS v. HOSIDEN ELECTRONICS (M) SDN BHD[2016] 1 MELR 253 Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan CD adalah tidak berjaya kerana arahan perpindahan telah dibuat dengan baik. Ini adalah kerana disebabkan majikan berjaya membuktikan sedang mengalamai masaalah kewangan dan pihak majikan perlu menyusun semula organisasinya. Dalam proses penyusunan semula maka arahan perpindahan perlu untuk dilakukan.



2. TIDAK ADA BUKTI PAKSAAN. GAJI YANG DIPOTONG BUKAN KONTRAKTUAL.


Di dalam kes ROZANA RAMAN v. ABD GHANI CHE MAN & CO[2016] MELRU 620 Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa tidak ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan Syarikat telah memaksa pekerja untuk berhenti. Syarikat telah memindahkan pekerja kerana untuk membuat aktiviti penyusunan semula Syarikat kerana mempunyai masalah kewangan. Mahkamah telah menerima pembelaan Syarikat di mana gaji pekerja telah menjadi berkurang kerana disebabkan  elaun yang bukan terdapat di dalam kontrak telah ditarik semula.

Perlu diingat jika gaji atau elaun yang terdapat di dalam kontrak dipotong atau ditarik oleh pihak majikan itu adalah merupakan asas untuk membuat tuntutan CD. Tetapi jika yang dipotong adalah yang bukan kontraktual itu bukan asas untuk tuntut CD.



3. TURUN PANGKAT SETELAH SIASATAN DALAMAN DIBUAT

Di dalam kes ZAIDI KAMALI lwn. ANDAMAN RESORT SDN BHD & ANOR[2016] MELRU 483 Mahkamah Perusahaan telah memutuskan bahawa tindakan Hotel/Responden dalam kes ini dengan menurunkan pangkat dan gaji pekerja  selepas satu sesi Siasatan Dalaman dibuat adalah merupakan satu bentuk tindakan disiplin terhadap pihak pekerja. Oleh itu tiada asas untuk pihak pekerja  mengatakan bahawa beliau telah ditamatkan pekerjaan secara konstruktif.

Apa yang kita boleh lihat di sini adalah hukuman penurunan pangkat dibuat setelah adanya satu sesi Siasatan Dalaman dibuat. Namun jika tidak ada sesi Siasatan Dalaman atau pekerja dapat buktikan sesi Siasatan Dalaman telah dibuat dengan cara tidak adil. Prinsip keadilan semulajadi telah tidak dipenuhi. Surat tunjuk sebab tidak dikeluarkan. Maka hukuman penurunan pangkat dan pemotongan gaji yang terhasil daripada kecacatan sesi Siasatan Dalaman dan ketidakpatuhan kepada prinsip keadilan semulajadi boleh menjadi asas kepada tuntutan CD. 



4. TIDAK ADA BUKTI DISKRIMINASI


Di dalam kes MOHD BAHRULNIZAM MUSA v. PETROLIAM NASIONAL BERHAD[2015] 3 MELR 150 Mahkamah Perusahaan telah memutuskan bahawa tidak ada sebarang bukti pecah mungkir terma yang nyata atau tersirat. Tidak ada juga sebarang bukti majikan perlu memberikan rating yang lebih baik. Tidak ada bukti diskriminasi. Apa yang dibangkitkan berkenaan perubahan berkenaan dengan cuti tidak dibuat oleh pihak Syarikat tetapi atas arahan daripada kerajaan Sudan sendiri. Malahan perubahan cuti tersebut hanyalah bersifat sementara dan bukannya kekal.

Apabila anda ingin membuat tuntutan CD bukti adalah perkara yang sangat utama untuk anda kumpul dan bawa. Jika ada ada asas yang kuat seperti contohnhya majikan anda telah melakukan diskriminasi terhadap anda. Tetapi apabila ditanya apa bukti diskriminasi? Anda tidak ada bukti. Yang ada hanyalah aduan anda  sendiri secara lisan. Tuntutan yang kuat akan terus menjadi lemah. Sebab itu penting sebelum anda hendak bertindak membuat tuntutan CD anda perlu menilai semula sama ada bukti anda itu sudah cukup kuat atau tidak. 

Ada keadaan yang hampir sama berlaku di mana seorang pekerja telah berjumpa dengan saya dan mengadu telah menjadi mangsa ugutan kepada pihak majikan. Persoalan yang utama saya tanya kepada pekerja tersebut adalah apa bukti ugutan yang anda ada. Beliau telah merakam insiden kejadian tersebut. Dimana dengan jelas ada suara beliau telah dimaki, diherdik, dan beliau telah diugut akan dicederakan. Tidak cukup dengan bukti rakaman yang beliau ada. Beliau juga telah menyokong bukti tersebut dengan membuat satu laporan polis. 

Anda perlu ada asas untuk tuntut CD. Kemudian anda perlu ada bukti utama. Selepas bukti utama anda ada juga bukti sokongan. Barulah tuntutan CD anda akan melekat.


5. KAEDAH TUNTUTAN CD YANG SALAH


Di dalam kes  HO SAU FUN v. ANSHIN PRECISION INDUSTRIES SDN BHD[2015] MELRU 776 Mahkamah Perusahaan mendapati bahawa  surat tuntutan CD yang dihantar oleh pekerja kepada pihak syarikat telah tidak menyatakan berkenaan dengan bahaya dan keadaan kerja yang tidak sesuai. Pekerja hanya meminta penjelasan berkenaan dengan arahan penukaran tempat kerja dan bidang tugas sahaja. Oleh yang demikian Mahkamah mendapati asas tuntutan CD keana pekerja ditugaskan di tempat yang bahaya dan tempat kerja adalah tidak sesuai adalah merupakan pemikiran semula pihak pekerja. Mahkamah juga mendapati bahawa pekerja telah tidak bertindak segera dengan meninggalkan Syarikat untuk sebab-sebab CD. Ada kelewatan selama 130 hari dari tarikh arahan penukaran kepada surat tuntutan CD yang dihantar. Kelewatan ini dengan jelas telah menunjukkan pekerja telah abaikan /condone atau telah menerima pecah mungkir tersebut.

Jadi di sini perlu diingat jangan terus buat tuntutan CD. Ada langkah-langkah yang perlu dipatuhi. Daripada masa keadaan pecah mungkir yang berlaku sehingga masa anda membuat surat tuntutan CD tidak boleh lewat. Keadaan-keadaan yang anda anggap sebagai ada pecah mungkir perlu dinyatakan di dalam surat tuntutan CD. Jika anda gagal untuk nyatakan maka anda sudah tidak boleh hendak bangkitkan kembali. Selepas anda sudah menghantar surat tuntutan CD kepada pihak majikan. Majikan perlu membetulkan semua pecah mungkir. Jika majikan gaga untuk betulkan semula maka barulah anda boleh keluarkan surat kedua maklumkan anda telah ditamatkan secara CD.


6. KOMISYEN TURUN ATAS BUDIBICARA


Di dalam kes  CHOONG TUCK LONG v. HAWAII BAKERY & FOOD INDUSTRIES (M) SDN BHD[2014] MELRU 289 Mahkamah Perusahaan telah memutuskan bahawa komisyen yang telah diturunkan daripada 1% kepada 0.5% bukan sebab/asas untuk menuntut CD. Ini adalah kerana disebabkan di dalam kontrak  komisyen rate telah dinyatakan sebagai atas budi bicara Syarikat. Tidak ada terma yang menyatakan komisyen rate adalah atas persetujuan bersama.



6 perkara yang telah dinyatakan sebagai keadaan di mana Mahkamah Perusahaan putuskan tidak ada CD adalah bukan senarai akhir atau senarai lengkap. Ada lagi keadaan-keadaan lain di mana Mahkamah Perusahaan putuskan tidak ada CD. 

Apa yang utama apabila anda telah ditindas oleh majikan anda maka anda perlu mengambil langkah-langkah yang tepat. Bukti-bukti yang menunjukkan anda telah ditindas perlu anda kumpul dan simpan. Pastikan keadaan-keadaan pecah mungkir yang berlaku kesemuanya anda nyatakan di dalam surat tuntutan CD. 


Baca kupasan lanjut:- 

1. Pengenalan + Apa itu CD? klik di sini
2. Apa keadaan untuk tuntut CD? klik di sini
3. Apa keadaan CD ditolak? klik di sini
4. Apa syarat-syarat untuk buat CD? klik di sini
5. Siapa kena buktikan tuntutan CD? klik di sini
6. Macam mana nak buat surat tuntut CD?
7. Bolehkah surat CD tidak diserah kepada majikan?
8. Selepas majikan terima surat CD nak buat apa?
9. Kesimpulan

No comments:

Post a Comment