Sunday, 13 November 2016

Apa Syarat-Syarat Untuk Tuntut CD?

Sebelum ini saya telah berkongsi dengan anda semua berkenaan dengan apa itu CD? Apa keadaan CD dibenarkan dan juga apa keadaan CD ditolak.

Selanjutnya anda perlu faham syarat-syarat untuk menuntut CD. Ini adalah perkara yang sangat penting. Jika syarat ini tidak dipenuhi maka tuntutan CD anda akan ditolak oleh Mahkamah Perusahaan. 

Syarat-syarat untuk tuntut CD telah dinyatakan di dalam kes Secure Guards Sdn Bhd v. Her Bhajan Kaur [1996] 1 MELR 768; [1996] 2 ILR 1342 di mana Mahkamah Perusahaan telah merujuk kepada Bryn Perrins' Industrial Relations and Employment yang telah menetapkan 4 syarat untuk tuntutan CD dibenarkan iaitu:-





(1) MAJIKAN MESTI MEMUNGKIRI KONTRAK PERKHIDMATAN 

Boleh jadi dalam bentuk yang nyata atau tersirat. Boleh jadi kemungkiran itu dalam keadaan yang nyata atau yang dijangkakan. 

Oleh yang demikian apabila hendak membuat tuntutan CD perlu kenal pasti terlebih dahulu kemungkiran yang berlaku. Di dalam post berkenaan dengan keadaan tuntutan CD yang dibenarkan itu adalah contoh-contoh keadaan di mana Mahkamah Perusahaan memutuskan adanya kemungkiran kontrak perkhidmatan. Kemungkiran kontrak boleh berlaku apabila gaji pekerja tidak diberikan, gaji pekerja dipotong, diarahkan untuk berpindah dengan adanya niat yang jahat, pekerja diturunkan pangkat tanpa melalui proses siasatan dalaman, pekerja diugut atau dipukul oleh majikan, dan lain-lain lagi. 


(2) KEMUNGKIRAN MESTILAH SESUATU YANG SANGAT SERIUS 

Kemungkiran mestilah sesuatu yang sangat serius sehingga mewajarkan pekerja untuk berhenti atau insiden terakhir dalam banyak-banyak siri yang mewajarkan pekerja untuk terus berhenti.

Ini adalah perkara yang sangat penting. Kena pastikan bahawa kemungkiran adalah merupakan sesuatu yang sangat serius sehingga telah sampai ke dasar kontrak antara pekerja dan majikan. Jika kemungkiran ada tetapi bukanlah sangat serius maka tuntutan CD akan ditolak. Bila kemungkiran melibatkan gaji pekerja maka itu sangat serius. Jika kemungkiran yang berlaku adalah sekadar pekerja tidak diberikan sebarang kerja dan gaji masih dibayar itu bukannya sesuatu kemungkiran yang serius.


(3) ALASAN PEKERJA MESTILAH BERKAITAN 

Alasan pekerja untuk meninggalkan kerja mestilah berkaitan dengan kemungkiran majikan dan bukan untuk sebarang sebab lain yang tidak berkaitan.

Perlu diingat apabila anda mengeluarkan surat menuntut CD kepada majikan maka itu perlu menjadi asas kepada tuntutan CD. Semua kemungkiran yang menjadi asas kepada tuntutan CD anda perlu dinyatakan di dalam surat tersebut. Anda tidak boleh selepas sudah menghantar surat tuntutan CD dan keluar meninggalkan pihak syarikat kemudian semasa di  di Mahkamah Perusahaan anda bangkitkan berkenaan dengan kemungkiran yang lain. Jika di dalam surat tuntutan CD anda sudah nyatakan ada kemungkiran yang serius kerana gaji tidak dibayar kemudian semasa di Mahkamah Perusahaan anda bangkitkan pula berkenaan dengan kemungkiran yang lain seperti anda telah diugut atau ditekan oleh majikan anda. Sepatutnya jika ada kemungkiran berkenaan dengan ugutan dan tekanan yang anda terima itu perlu dinyatakan di dalam surat tuntutan CD.



(4) PEKERJA TIDAK MELENGAH-LENGAHKAN MASA UNTUK MENAMATKAN KONTRAK

Jika tidak pekerja akan dianggap telah bersetuju dengan kemungkiran dan telah bersetuju untuk mengubah kontrak perkhidmatan.

Ini juga adalah merupakan perkara yang penting. Setelah anda memaklumkan berkenaan dengan kemungkiran yang berlaku kepada pihak majikan. Kemudian pihak majikan tidak membaik pulih kemungkiran yang berlaku. Maka anda wajar mengeluarkan surat memaklumkan anda telah ditamatkan secara CD dan anda perlu segera tinggalkan syarikat. Tidak boleh jika setelah anda memaklumkan berkenaan dengan kemungkiran kemudian anda masih lagi tetap bekerja dengan pihak Syarikat. Kerana ini akan menunjukkan anda telah bersetuju untuk menerima kemungkiran tersebut. 

Apabila ada kemungkiran yang berlaku anda tidak boleh melengah-lengahkan masa untuk menuntut CD. Apabila kemungkiran telah berlaku kemudian anda berdiam diri selama setahun. Selepas setahun baru anda ingin bangkitkan kemungkiran tersebut. Maka tuntutan CD anda akan ditolak kerana disebabkan anda telah dianggap menerima kemungkiran tersebut kerana tidak segera membangkitkan berkenaan dengan kemungkiran yang berlaku.

Baca kupasan lanjut:- 

1. Pengenalan + Apa itu CD? klik di sini
2. Apa keadaan untuk tuntut CD? klik di sini
3. Apa keadaan CD diolak? klik di sini
4. Apa syarat-syarat untuk buat CD? klik di sini
5. Siapa kena buktikan tuntutan CD? klik di sini
6. Macam mana nak buat surat tuntut CD?
7. Bolehkah surat CD tidak diserah kepada majikan?
8. Selepas majikan terima surat CD nak buat apa?
9. Kesimpulan

1 comment:

  1. Emperor Casino Review | Honest Review by Shootercasino.com
    Emperor Casino is 인카지노 rated 8.5 out of 10 on Shootercasino and 30% of them said: "liked 메리트 카지노 it". Read our review to find out more! 제왕카지노 Rating: 8.5/10 · ‎Review by Shootercasino.com

    ReplyDelete